“Sedangkan kucing pun sayangkan anak, inikan pula kita manusia. Saya sayangkan dia dan maafkan perbuatannya,” kata Mustapa Md Yasin, 46, yang cedera teruk di kepala akibat dihentak dengan cangkul oleh anaknya dalam kejadian di Kampung Gerai, Jertih, Terengganu, Ahad lalu.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, Mustapa diserang anak sulungnya yang berusia 24 tahun selepas mereka bertengkar mengenai tindakan anak lelakinya itu menjual enjin motosikalnya.
Berang ditegur bapanya, lelaki itu menghentak kepala Mustapa dengan cangkul menyebabkan bapanya parah dan dikejarkan ke Hospital Jertih sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, untuk rawatan lanjut.
Ketika ditemui semalam, Mustapa yang bekerja sebagai tukang rumah kelihatan tenang ditemani isteri, Siti Khatijah Mohamad, 42, dengan beberapa jahitan di kepala.
“Tidak mengapalah.
Saya tahu dia mungkin tidak sengaja memukul saya dan saya maafkan perbuatannya serta berharap dia insaf selepas ini,” katanya.
Menceritakan kejadian itu, bapa kepada lima anak itu berkata, dia baru pulang selepas selesai kerja di kawasan berhampiran dan melihat semua anaknya berada di rumah, manakala Siti Khatijah ke masjid.
“Apabila masuk, saya nampak enjin motosikal sudah tiada.
Saya bertanya dia mana enjin itu, tetapi dia tidak menjawab sebelum saya mengulangi soalan sama hingga berlaku pertengkaran antara kami.
“Ketika bertengkar, tiba-tiba dia mencapai cangkul dan menetak kepala saya mengakibatkan saya rebah dan pitam,” katanya.
Mustapa berkata, terkejut dengan tindakannya itu, anaknya melarikan diri sebelum ditahan pihak berkuasa selepas adiknya yang berusia 27 tahun membuat laporan polis.
Siti Khatijah berkata, mereka sekeluarga menerima kejadian itu dengan hati terbuka kerana menganggap anaknya bertindak tanpa sedar.
“Dia baik dan rajin berkerja.
Mungkin kerana tidak dapat mengawal kemarahan dia bertindak sedemikian.
“Biarlah dia ditahan dulu.
Semoga selepas selesai menjalani hukuman dia berubah menjadi lebih baik,” katanya.
VIA - HM
0 Response to "Bapa Maafkan Anak Walaupun Parah dicangkul"
Post a Comment