China Bertegas Mahukan Data Satelit Dari Malaysia



KERAJAAN China memohon dari Malaysia untuk menyerahkan kepada pihaknya kesemua analisis data satelit yang berkaitan dengan misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Menurut laporan saluran berita Reuters, permintaan itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Luar China, Xie Hangsheng kepada Duta Besar Malaysia ke China Datuk Iskandar Sarudin malam tadi.

Beliau bertemu dengan duta Malaysia itu selepas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memaklumkan penerbangan pesawat Boeing 777-200ER telah “berakhir” di kawasan selatan Lautan Hindi, berdasarkan kepada data terbaru satelit.



Najib yang mengumumkan perkembangan terbaru mengenai MH370 kepada pemberita malam tadi berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara ini oleh wakil Cawangan Siasatan Nahas Udara (AAIB) dari Britain.

Najib berkata, pakar analisis data satelit Inmarsat, yang sebelum ini memberi anggaran lokasi pesawat itu di dua koridor utara dan selatan, merumuskan pesawat malang itu mengakhiri perjalanannya di selatan Lautan Hindi di barat bandaraya Perth, Australia.

“Ini merupakan lokasi terpencil, jauh dari mana-mana kawasan landasan.

“Dengan penuh rasa sedih dan kesal, saya ingin memaklumkan kepada anda, bahawa berdasarkan data baru ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi,” kata Najib dalam sidang media yang turut disiarkan secara langsung malam tadi.

Dalam kenyataan ringkasnya, Najib berkata butiran terperinci akan diumumkan pada sidang media hari ini.

Katanya, maklumat terbaru ini dikongsi awal kepada umum untuk menunjukkan komitmen pihak berkuasa Malaysia kepada keterbukaan dan atas rasa hormat terhadap anggota keluarga yang terlibat.

Najib juga memaklumkan bahawa anggota keluarga sudah diberitahu mengenai perkembangan tersebut

0 Response to "China Bertegas Mahukan Data Satelit Dari Malaysia"

Post a Comment