Erin Malek Bersedia Kahwin Muda

Erin Malek semakin melonjak apabila dia menjuarai Fear Factor Malaysia musim kedua bersama rakan sepasukannya, Redha.

Namun, umum mengetahui pemilik nama Nur Arina Abdul Malek ini telah menceburi bidang lakonan sejak zaman kanak-kanaknya lagi.

Jika dahulu kita melihat Erin sebagai gadis sunti yang membintangi filem Congkak, Brainscan Aku dan Topi Ajaib serta Tentang Bulan, kini Erin tampil semula di kaca televisyen dengan imej seorang remaja yang sedang meningkat dewasa.



Terdahulu, Erin sudah putus cinta dengan kekasih lama hampir setahun lalu namun tidak mahu mendedahkan hal tersebut kerana enggan isu peribadi berkenaan perihal putus cintanya itu disensasikan.

“Dah hampir setahun saya putus dengan kekasih yang lama tu tapi saya rahsiakan sebab tak nak orang keluarkan isu Erin Malek putus cinta.

“Bagi saya, lebih baik keluarkan cerita-cerita tentang karier saya, bukan pasal hal peribadi,” ujar anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Jangan terkejut kerana duta produk kecantikan Syasya ini telah menemui pengganti dan agak terbuka berbicara soal kekasih baharunya yang hanya diperkenalkan sebagai ‘F’ olehnya.

Perbezaan umur 10 tahun antara mereka tidak menjadi halangan untuk menjalin hubungan cinta secara serius buat Erin dan teman lelakinya.

Pelakon filem Bilut ini menyatakan dia senang berkawan dengan orang yang lebih tua dan matang.

“Bila kita berkawan dengan orang yang lebih tua ni, kita tahu fikiran dia lebih matang. Dalam masa yang sama dia juga pandai jaga kita,” katanya.

Erin juga tidak kisah jika diizinkan Tuhan untuk berkahwin dalam usia muda, apatah lagi jejaka pilihan hatinya itu sudah menjangkau usia 30 tahun.

“Dia pun semakin tua, dia cakap pada Erin apa yang dia nak dalam hidup adalah sebuah keluarga. Dia nak ada isteri dan anak.

“Perancangan untuk kahwin tu memang dah ada, walaupun orang cakap Erin ni muda, nak kahwin awal-awal buat apa. Tapi dia kata kalau segalanya berjalan lancar, kita boleh maju ke satu tahap lagi dalam perhubungan ni.

“Kita tak pernah tahu apa yang akan jadi, jadi Erin cuma cakap dengan dia sebagai pasangan, kita kena saling memahami, itu sajalah,” kata Erin.

Mengulas lebih lanjut isu ‘kahwin muda’ yang sering diutarakan kepadanya, Erin menjawab tidak mahu membuang masa dalam percintaan tanpa titik noktah yang sepatutnya.

“Erin tak nak bercinta setakat nak buang masa. Buat apa bercinta bertahun-tahun tapi tak ada apa, baik Erin tumpu pada kerja dan keluarga Erin. Sebab tu tahun lepas sepanjang tahun Erin bekerja selagi boleh.

“Jadi, Erin memang nak kawan dengan orang yang betul-betul-nakkan Erin dan rancang untuk masa depan bersama.


“Erin tak nampak kahwin muda tu satu masalah, asalkan tak menganggu Erin punya kerja dan apa yang Erin nak buat dalam hidup,” ujarnya yang memberitahu kekasihnya mengusahakan perniagaan keluarga sebagai kerjaya.

Tidak gusar atas rezeki sebagai selebriti terjejas selepas kahwin, Erin berserah kepada Tuhan dalam menentukan hal tersebut.

“Erin pernah berhenti karier seni kejap sebab SPM dulu. Dan nak masuk semula ke dalam bidang ni memang kena kerja keras. Tapi, mungkin lepas kahwin rezekinya lain,” katanya yang tidak bercadang untuk menghentikan karier lakonan selepas berkahwin.

Instagram titik perkenalan

Siapa sangka, hubungan pengacara TVIQ dan Apa Cerita ini dengan kekasihnya, F baru menjangkau empat bulan.


Lebih menarik lagi, perkenalan yang bermula di laman Instagram itu berlanjutan sehingga ke masa merancang perkahwinan.

“Saya baru kenal dia bulan Januari lepas, saya tak tahu siapa dia, dan dia tak tahu siapa saya. Buka Instagram, saya nampak ada banyak nama dia, jadi saya pun tekan sajalah ‘follow’.

“Jadi, setiap hari dia akan ‘like’ gambar-gambar saya dan hantar ‘smiley’. Masa tu memang saya tak ada teman lelaki, cuma fokus pada kerja jadi tak apalah, kami pun bertukar nombor telefon,” ujar Erin.

Mengakui susah berjumpa dengan kekasihnya pada peringkat awal perkenalan, Erin segera dapat merasai telah bertemu orang yang tepat pada pertemuan pertama mereka.

“Mula-mula kami berkawan, memang susah nak jumpa sebab dia sangat-sangat sibuk dengan kerja. Jadi satu hari kami keluar makan tengah hari bersama.

“Masa pertama kali ‘dating’ tu, saya dapat rasa dia lain. Sebab saya dapat rasakan dia tu ‘soulmate’ saya.

“Jadi setiap hari perasaan tu macam nak hari-hari jumpa, nak lebih kenal antara satu sama lain,” katanya.

Ujar Erin, dia menganggap ‘F’ istimewa kerana memberi sokongan yang tidak berbela hbahagi kepada Erin dalam semua perkara yang dilakukan olehnya.

“Dia sangat baik dan akan sokong kerja yang saya buat. Sebab saya sangat pentingkan kerja dan masih muda, ada banyak lagi benda yang saya nak buat. Jadi, saya sangat perlukan orang yang menyokong saya, bukan yang bagi masalah pada saya,” katanya.

Erin juga menyifatkan kekasihnya itu sebagai sahabat baik tempat berkongsi suka dukanya.

“Biasalah setiap manusia ada keluarga dan ada cinta. Erin rasa tak salah kita berkongsi cerita dengan orang yang kita sayang sebab bukan semua benda kita boleh kongsi dengan keluarga kita, kan?

Dia kawan baik Erin dan akan sokong semua lakonan Erin. Tak kisah lah Erin berlakon drama ke apa, mesti dia akan tengok walaupun tak minat,” kata Erin.


Tak kisah masa lalu

Sebelum ini, anak sulung daripada tiga beradik ini sering dipalit kontroversi pada zaman awal remajanya.

Ada yang turut melabelnya sebagai remaja bermasalah apabila isu-isu negatif berkaitannya diutarakan.

Namun, Erin menjelaskan kekasihnya tidak menghukum dirinya dan menerima Erin seadanya dengan dirinya sekarang.

“Sebab dia tak kenal saya dan saya tak kenal dia siapa, masa mula-mula kenal dia tengok cerita pasal saya semua dalam internet. Dia dapat tahu pasal saya, umur saya dan keluarga saya pun dari internet.

“Gosip yang dia baca pasal saya, semua dia tak pernah tanya. Sebab itu benda yang dah lepas kan. Mungkin masa lalu kita teruk, tapi sekarang kita dah berubah kan.

“Apa yang dia cakap pada saya, “you are nothing, but you are very nice to me” ujar Erin.

Ternyata jejaka pilihan hati Erin bukanlah seorang yang suka menghukum, sebaliknya sangat matang dalam menjalani sesebuah hubungan.

Oleh itu, tidak hairanlah Erin sangat senang bercerita mengena iteman lelakinya itu disamping sering memuat naik gambar mereka berdua di akaun Instagramnya.


Kejutan buat peminat

Keterbukaan gadis yang lahir pada tanggal 15 Julai 1994 ini tentang teman lelaki baharunya telah mewujudkan pandangan bahawa dia telah bersedia memperkenalkan ‘F’ kepada pihak media dan orang ramai.

Apatah lagi kekasihnya turut ikut serta menemani Erin ke Majlis Tayangan Episod Kemuncak Fear Factor Malaysia 2 di Restoran Picknik, Publika, Kuala Lumpur tempoh hari.

Ketika diajukan soalan tentang perkara tersebut, Erin menjawab dia tidak risau jika umum mengenali ‘F’ sebagai kekasih Erin Malek.

“Erin tak risau sebab kalau bukan di sini, di luar pun orang boleh nampak Erin dengan dia.

“Kami keluar berjalan dan makan bersama, orang akan nampak juga dan orang akan bercakap. Jadi orang akan tahu kami sedang bercinta. Jadi bagi Erin, memang tak ada masalah apa-apa,” katanya.

Tambah Erin, dia senang bercakap tentang ‘F’ kerana kekasihnya itu sangat santai orangnya.

“Erin boleh cakap pasal dia sebab dia pun tak ada apa-apa masalah. Dia sangat rileks, Erin tak pernah dapat orang yang jaga Erin macam dia.

“Syukur Alhamdulillah, dia seorang lelaki yang sangat baik,” ujarnya.

Buat semua peminat gadis genit ini, Erin bakal mengumumkan sesuatu berkaitan hubungan cintanya pada bulan Jun ini.

“Perancangan untuk kahwin memang dah dibuat, tapi apa-apa hal, tunggulah bulan Jun nanti. Saya akan umumkan sesuatu kepada semua,” kata Erin.

Menyentuh tentang kerjaya seni, Erin bersyukur kerana drama bersiri Misiku Kuza mendapat sambutan hangat daripada penonton.

“Lepas habis sekolah, saya berlakon semula dan masa tu orang nak tengok imej baru saya sebagai pelakon. Saya memang kerja keras masa umur 18 tahun tu dan Alhamdulillah, cerita Misiku Kuza meletop dan bantu saya naik semula dalam bidang lakonan.

“Apa yang saya nak dalam hidup ni adalah buat satu perkara yang orang akan ingat. Dan saya akan berusaha ke arah itu,”katanya.

Dalam perkembangan lain, Erin bakal muncul sebagai salah seorang teraju utama filem Awak Nak Kahwin Dengan Saya di pawagam pada 22 Mei ini selain meneruskan musim baru drama bersiri Misiku Kuza bersama aktor Arja Lee dan Hairul Azreen.

Dia juga akan terlibat dengan penggambaran beberapa drama bersiri dan telefilem lain sepanjang tahun ini.

Di samping itu, kemenangan Erin bersama Mohd Redha Rozlan sebagai juara Fear Factor Malaysia 2 membawa pulang wang tunai sebanyak RM200,000.

Via-Sinar

0 Response to "Erin Malek Bersedia Kahwin Muda"

Post a Comment