Brian Lamar, Cium Bibir Pembaca Berita TV3

Semasa di sidang media pada Khamis lalu, MD sempat bertanyakan kepada Brian McKnight kalau-kalau ada kejutan yang akan diberikan kepada peminat-peminat pada konsertnya nanti. Tapi jawab bintang sensasi antarabangsa kelahiran Buffalo, New York, Amerika Syarikat ini, beliau hanya akan menyanyi saja selama dua jam dan tidak ada apa-apa kejutan untuk penonton- penontonnya.



Namun penyanyi R&B ini ternyata ‘berbohong!’. Sebab, pada konsertnya yang berlangsung di PWTC pada Jumaat (malam tadi), Brian bukan saja berjaya memukau seramai 2000 penonton malah penyanyi berusia 45 tahun ini turut memberikan beberapa kejutan kepada peminat-peminatnya.

Memulakan persembahan pada jam 8.45 malam, Brian mendendangkan lagu ‘Find Myself’, ‘Dont Stop’. Suasana terus hangat apabila dia yang muncul di tengah pentas sempat menarik dan bergelek seksi bersama gitaris dan basist-nya sebelum memulakan nyanyian. Aksinya itu nyata membuatkan seluruh dewan merdeka gamat dengan sorakan para penonton.

Terus buat peminat tidak keruan apabila terus dipersembahkannya lagu ‘Love of My Life’, ‘Only One’. Saat ini, ramai penonton yang ikut sama menyanyi sambil bertepuk tangan.

“Hai Kuala Lumpur!!! Lama tidak ke sini sejak menjejakkan kaki pertama kali pada tahun 2000. Ketika itu, saya dapat rasakan yang saya akan kembali lagi ke sini satu hari nanti. Ya! saya yakin saya akan kembali semula ke sini untuk persembahan yang lebih besar. Dan hari ini saya kembali, di hadapan anda semua. Saya cukup gembira dan teruja. Kepada anda ingat juga pada yang mungkin tak ingat, nama saya… Brian McKnight”, sapa Brian sambil tersenyum lebar sebelum meneruskan persembahan.

Tidak cukup membuai penonton dengan vokalnya yang lunak, dalam pada dia menyanyi, sesekali Brian tanpa segan silu mempamer gelagat-gelagatnya yang melucukan. Sekaligus mengundang gelak-tawa audience. Bukan saja Brian, pemuzik iringannya juga turut membuat aksi-aksi melucukan.

‘Kejutan’ seterusnya, Brian mempelwa seorang penonton naik ke pentas dan MD difahamkan peminat bertuah yang terpilih itu bernama Anita, pembaca berita Nightline, TV3.

Brian sempat bertanyakan kepada gadis tersebut sama ada dia sudah mempunyai teman lelaki atau tidak. Anita menjawab, “sudah”. Lalu Brian berkata, “kalau begitu, boleh tak benarkan saya jadi teman lelaki awak untuk 5, 6 minit ini saja?”, “Boleh”, jawab Anita sambil tersenyum.

Kemudian Brian terus mendedangkan lagu Another You sambil bersungguh-sungguh dengan gaya seperti dia melamar personaliti TV3 itu sambil memberikan sejambak bunga. Tersipu-sipulah Anita dibuatnya. Dalam keasyikan penonton melihat aksi Brian ‘mencairkan hati ‘ Anita, (dengan gaya gentleman) tiba-tiba suasana dewan bertukar gamat apabila Brian bertindak mencium bibir Anita. Terkejut dengan tindakan penyanyi itu, Anita bagaimanapun dilihat cuba mengelak.

Dan kemudian malam konsert yang diberi nama ‘More Than Words- An Intimate Evening with Brian McKnight’ anjuran Jag Live Concert ini diteruskan dengan dendangan lagu seperti ‘Crazy Love’, ‘My Kind Girl’, ’6,8,12′. Pada konsertnya itu, penghibur yang berkebolehan memainkan lapan alat muzik ini turut mempamerkan kebolehannya bermain gitar dan piano.

Antara lagu lain yang turut diperdengarkan seperti ‘Rest Of My Life’, ‘Back at One’, ‘Fall’, ‘Made For Love’ dan Brian mengakhiri persembahannya pada jam 10.30 malam dengan lagu ‘Still’.

Turut kelihatan pada konsert ini, barisan artis popular tempatan seperti Anuar Zain, Noryn Aziz, Shasha (Elite) Lisa Surihani dan suaminya, Yusry.

Via-SiakapKeli

0 Response to "Brian Lamar, Cium Bibir Pembaca Berita TV3"

Post a Comment