Pelajar MRSM Alor Gajah diPanah Petir




MELAKA - Seorang pelajar tingkatan satu Maktab Rendah Sains Mara, Alor Gajah tidak sedarkan diri akibat disambar petir di padang sekolah tersebut petang semalam.

Ketika kejadian kira-kira 6.05 petang itu, Johan Jasmin, 13, bersama sekumpulan rakannya sedang menuju ke asrama selepas tamat menjalani aktiviti sukan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri Md Rawi Mahmud berkata anak bongsu dari dua beradik itu rebah akibat panahan petir tersebut.

"Sebelum kejadian, semua pelajar telah diarahkan berhenti dari menjalani aktiviti sukan lebih awal dari waktu kebiasaa iaitu pada 6.15 petang ekoran cuaca hendak hujan dan guruh telah berbunyi," katanya kepada pemberita semasa melawat pelajar tersebut di Hospital Melaka.

Beliau berkata, pelajar yang berasal dari Shah Alam, Selangor itu pada mulanya dihantar ke Hospital Alor Gajah sebelum dibawa ke Hospital Melaka.

Md Rawi berkata, Johan masih tidak sedarkan diri dan tidak mengalami kecederaan fizikal termasuk kesan melecur atau terbakar.

Beliau berkata, pelajar itu kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

"Kita masih menunggu perkembangan lanjut mengenai keadaan mangsa daripada pihak hospital dan pihak pengurusan tertinggi Mara dimaklumkan akan melawat mangsa dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu Mara (Majlis Amanah Rakyat) melalui kenyataannya menjelaskan pihaknya telah mengambil langkah awal untuk memastikan pelajar terbabit mendapat rawatan sewajarnya.

"Pelajar itu telah dikejarkan ke hospital sebaik sahaja kejadian berlaku. Beliau kini menerima rawatan di ICU Hospital Melaka di bawah pemantauan rapi oleh doktor pakar hospital berkenaan," kata kenyataan itu.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Mara Azmi Mohamad turut melawat pelajar terbabit serta tempat kejadian dan memaklumkan kejadian seperti itu tidak pernah berlaku di MRSM tersebut dan langkah sewajarnya telah diambil bagi mengelakkan kejadian berulang.

Atas dasar keprihatinan terhadap keluarga pelajar itu, pihak Mara turut membantu menyediakan kemudahan penginapan kepada mereka.

Beliau berkata, Mara turut menghargai keprihatinan orang ramai terutama rakan pelajar terbabit dan berharap semua pihak mendapatkan maklumat terkini keadaan pelajar itu daripada sumber yang sahih sama ada daripada keluarga pelajar atau pentadbiran MRSM Alor Gajah.

Via - Bernama

0 Response to "Pelajar MRSM Alor Gajah diPanah Petir"

Post a Comment